Wednesday 3 June 2015

Dr. Mahathir sambut baik pelan pemulihan MAS 

KUALA LUMPUR 31 Ogos : Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut baik usaha Khazanah Nasional Berhad. (Khazanah) di atas inisiatif menjenamakan kembali Malaysia Airlines (MAS) melalui 12 pelan pemulihan untuk memperkukuhkan syarikat penerbangan negara itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelan pemulihan berkenaan dilihat mampu mengurangkan kos yang ditanggung oleh MAS.

“Khazanah sudah memperuntukkan dana sebanyak RM6 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja. Maka kos (operasi) turunlah.

“Pemberhentian penerbangan ke tempat-tempat yang tidak ramai penumpang juga boleh mengurangkan kos. Saya ucapkan tahniah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya dan Hari Kemerdekaan ke-57 anjuran Permuafakatan Pertubuhan Bukan Kerajaan Selangor, semalam,

Yang turut hadir Pengerusi Permuafakatan Pertubuhan Bukan Kerajaan Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Semalam, Khazanah mengumumkan 12 pelan bagi memulihkan MAS membabitkan pelaburan berjumlah RM6 bilion selain mewujudkan syarikat baharu serta pemberhentian 6,000 pekerja daripada 20,000 keseluruhan pekerja MAS.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, langkah penstrukturan semula itu merupakan tindakan menasionalisasikan MAS dan bukannya bersifat penswastaan kerana MAS dimiliki oleh syarikat milik kerajaan.

“Saya secara jujurnya kurang yakin dengan syarikat yang diuruskan oleh kerajaan kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan.

“Kita tunggu dan lihat keberkesanan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan juga Khazanah,” katanya.



No comments:

Post a Comment