Monday 31 August 2015

GST HUKUMNYA ADALAH HARUS!!

Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar'iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.
ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.
iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.
iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم

"Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka".
3. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.
4. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:
i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat;
Keterangan/Hujah: 
1. Secara umumnya, sumber pendapatan Negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Zakat merupakan kutipan yang berdasarkan arahan Allah SWT dan pihak yang layak menerimanya juga telah ditetapkan oleh Allah SWT. Manakala cukai pula, ada yang bersandarkan kepada nas  seperti  jizyah,  dan  selainnya  adalah  berdasarkan  kepada  budi  bicara Pemimpin  Negara  mengikut keperluan  semasa.  Pihak  yang  berhak  menerima agihan hasil kutipan cukai juga bergantung kepada budi bicara Pemimpin. Oleh itu isu cukai adalah isu siyasah Syar'iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain, dan maslahah pada  sesuatu  zaman berbanding  zaman  yang  yang  lain  (Syaltut,  2004;  al- Qaradawi, 2006).
2. Sistem percukaian di Negara Islam bermula sejak pada zaman Nabi Muhammad saw di bawah Piagam Madinah yang telah menetapkan bayaran jizyah ke  atas  orang  bukan  Islam  dan  bayaran  zakat  ke  atas setiap  umat  Islam (Zulkornain Yusof, 1994). Sistem percukaian di Negara Islam semakin berkembang pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a seperti memperkenalkan bayaran cukai ke atas tanah (al-kharaj), perdagangan (al-'usyur) dan lain-lain. Pelaksanaan percukaian ini terus diikuti dan diperbaiki oleh pemerintahan pada zaman Khilafah Umawiyah dan Abbasiyah terutamanya pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dan Khalifah Harun al-Rasyid. Perubahan dalam sistem percukaian dalam pemerintahan Islam terus berubah mengikut peredaran masa sehingga kepada kerajaan Uthmaniyah yang terakhir pada tahun 1922.
3. Para ulama' tidak mempersoalkan tentang cukai yang telah diaplikasikan di zaman Nabi Muhammad saw dan Khulafa' al-Rasyidin iaitu jizyah, kharaj, dan 'usyur, kerana ia berdasarkan nas Syara'. Cukai tersebut diistilahkan sebagai 'direct tax' iaitu cukai yang dikutip secara langsung ke atas pegangan harta dan pendapatan. Namun, mereka berbeza pendapat, adakah Kerajaan Islam boleh mengutip cukai selain cukai tersebut. Namun, perbezaan ini hanya berkaitan isu Kerajaan   mewajibkan   cukai   kepada   individu   yang  kaya   bagi   membantu menampung perbelanjaan Kerajaan. Manakala mereka sepakat mengatakan diharamkan Kerajaan mewajibkan cukai kepada setiap individu; sama ada kaya atau miskin (al-Ghazali, 1971; al-Juwaini, 1401H).
4. Keperluan umum ummah adalah di bawah tanggungjawab Pemimpin Negara. Pemimpin Negara bertanggungjawab memastikan kepentingan umum terpelihara. Bagi memenuhi tanggungjawab ini, Kerajaan memerlukan sumber pendapatan bagi mengendalikan pelbagai projek bagi memastikan keamanan, keselamatan, pembangunan dan keperluan umum lain. Selain daripada zakat, Kerajaan Islam memerlukan sumber pendapatan lain, termasuklah cukai. Syeikh Mahmud Syaltut menjelaskan, cukai perlu bagi memenuhi maslahah umum seperti membina institusi pendidikan, hospital, jalan raya, pertahanan negara dan sebagainya. Jika maslahah umum tersebut tidak boleh terlaksana melainkan dengan cara mengutip cukai daripada rakyat yang kaya, maka kutipan cukai itu boleh diterima sebagai satu kewajiban.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain! Sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

(Surah al-Kahfi, ayat 94)
5. Imam al-Syawkani (w1250H) menjelaskan, maksud al-kharaj dalam ayat tersebut ialah "apa yang dikutip oleh pemimpin." Ayat ini menjelaskan bahawa pemimpin perlu mengumpulkan sumber pendapatan negara bagi memelihara kepentingan umum negara dan rakyat, bahkan pemimpin boleh mewajibkan rakyat untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka. Ini termasuklah pemimpin boleh mewajibkan rakyat membayar cukai.
6. Namun, bagi memastikan cukai yang dikutip oleh Kerajaan adalah cukai yang adil, maka beberapa syarat perlu dipatuhi:
i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam
Kerajaan yang dibenarkan mengutip cukai daripada rakyat adalah kerajaan yang komited dalam melaksanakan Syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek pemerintahannya dan pemimpin tersebut mestilah seorang yang adil. Ini dapat dilihat secara praktikal dalam pemerintahan Umar bin al-Khattab. Beliau terkenal dengan pemimpin Umat Islam pertama yang mengutip cukai tambahan iaitu cukai 'usyur dankharaj. Dalam masa yang sama, Umar sentiasa memastikan bahawa segala tindakan dan keputusannya bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan Nabi Muhammad saw.
Sufyan bin Abi al-'Awja' melaporkan, "Umar berkata, 'Demi Allah! Saya tidak pasti, adakah saya ini seorang Khalifah yang adil, atau seorang Raja yang zalim! Jika saya seorang Raja yang zalim, ini satu bencana yang besar!' Lalu berkata seseorang, 'Wahai Pemimpin orang beriman! Sesungguhnya ada beza antara Khalifah dan Raja.' Umar bertanya, 'Apa perbezaan itu?' Lelaki itu menjawab, 'Khalifah tidak mengambil sesuatu daripada rakyatnya melainkan dengan cara yang benar dan diagihkan juga kepada yang benar. Segala puji bagi Allah, kamu telah melakukannya. Manakala Raja merampas sesuatu daripada rakyatnya, diambil daripada seseorang dan diserah pula kepada orang lain.' Umar terdiam mendengar penjelasan itu."
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan
Syarat selanjutnya bagi membolehkan Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat ialah Kerajaan benar-benar memerlukan sumber kewangan bagi tujuan memenuhi maslahah rakyat. Dalam masa yang sama Kerajaan sudah memastikan tiada sumber lain yang boleh diperoleh untuk menampung keperluan tersebut. Namun jika sumber kewangan masih mencukupi dalam Baitul Mal, atau Kerajaan masih boleh mengusahakan sumber pendapatan lain seperti hasil petroleum dan seumpamanya, maka haram Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat.

iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Daruriyat dan Hajiyat
Kerajaan hanya dibenarkan mengutip cukai jika keperluan kepada tambahan kewangan Negara bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat. Ini bermakna, jika sesuatu keperluan tidak mencapai tahap daruriyat atau hajiyat, iaitu hanya sekadar maslahah tahsiniyat dan kamaliyat, maka Kerajaan diharamkan daripada mengutip cukai. Kerajaan diharamkan daripada mengutip cukai berasaskan wawasan dan gagasan pemimpin. Ia perlu dirujuk kepada maqasid al-Syari'ah.

iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil

Apabila terdapat keperluan Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, maka Kerajaan perlu memastikan penetapan bebanan cukai kepada pihak yang terlibat dilakukan secara adil. Adil bukan bermaksud cukai dikenakan secara sama rata, tetapi dikutip sesuai dengan keperluan dan keadaan. Bagi memastikan keadilan berlaku, Kerajaan perlu menyediakan sistem kutipan dan agihan cukai bersistematik yang berasaskan maqasid al-Syari'ah, dengan menyeimbangkan antara maslahah individu dan maslahah umum. Kerajaan wajib mengenalpasti individu yang benar-benar berkemampuan dan berkelayakan sahaja yang diwajibkan membayar cukai, agar tidak semua rakyat terbeban dengan menanggung bebanan cukai termasuk rakyat miskin dan memerlukan.

v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat
Kebenaran Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat bukan hanya sekadar Kerajaan memerlukan sumber kewangan dan bebanan cukai dikutip secara adil, bahkan Kerajaan perlu memastikan bahawa cukai yang dikutip digunakan untuk maslahah rakyat dan negara bukan untuk memenuhi kehendak pemimpin dan kepentingan peribadi mereka, atau untuk kepentingan pihak tertentu sahaja. Syarat ini boleh dihubungkan dengan hikmah Allah SWT menghadkan golongan yang layak mendapat zakat iaitu untuk memastikan zakat yang dikutip diagihkan mengikut kehendak Syarak, bukan mengikut kehendak pemimpin yang mengutip zakat.

vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat

Pemimpin Negara tidak boleh bersendirian dalam menetapkan agihan cukai. Pemimpin perlu merujuk kepada ulama' semasa dalam negaranya bagi mendapatkan panduan tentang agihan cukai. Sebagaimana yang kita sedia maklum, hukum asalnya harta milik individu adalah haram diambil dan pada asalnya tidak ada sebarang pertanggungjawaban kepada individu untuk membayar cukai kepada kerajaan. Tetapi disebabkan adanya maslahah daruriyat dan hajiyat, maka dibenarkan Kerajaan mengutip cukai. Persoalan ini sangat besar dan ia tidak boleh hanya merujuk kepada keputusan beberapa orang pemimpin sahaja, bahkan ia mestilah dirujuk kepada permesyuaratan dalam kalangan ulama' semasa yang benar-benar memahami tuntutan Syarak dalam memenuhi maslahah umum.

7. Garis panduan ini dikemukakan oleh para ulama, bagi memastikan Kerajaan yang mengutip cukai tidak termasuk dalam kategori 'sohib al-maks' yang dimaksudkan dalam hadis Nabi Muhammad saw. Ruwaifi' bin Thabit melaporkan, Rasulullah saw bersabda:

((صاحب المكس في النار))

Maksudnya: "Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan ‘al-maks’ (sebahagian ulama menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka." Hadis hasan sahih direkod oleh Imam Ahmad dan al-Tobarani.

 8. Berdasarkan analisa kepada pendapat ulama, ciri cukai (al-maks) yang diharamkan oleh Nabi Muhammad saw ialah:
Cukai yang dikutip secara zalim dan melampaui batas oleh pegawai kerajaan yang zalim.Cukai tersebut tidak berasaskan kepada kebenaran Syarak.Cukai dikutip, diagih dan diurus secara berlawanan dengan hukum Syarak.Cukai yang dikutip mempunyai elemen rasuah kerana pada asalnya 'al-maks' yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah, wakil pemerintah mengutip 'al-maks' daripada peniaga di pasar secara batilCukai yang dikutip menjejaskan hak orang miskin.Cukai yang dikutip membebankan pembayar cukai seperti dikenakan cukai ketika dalam kesempitan dan dikutip secara paksa.Cukai yang dikutip untuk digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin tanpa berdasarkan kepentingan umum.

Wallahu A'lam


No comments:

Post a Comment